Saturday, April 23, 2011

Turning Point


Perubahan diri adalah perkara yang agak sukar kita lakukan. Ia mesti didorong oleh kemahuan tuan empunya diri untuk dimotivasikan ke arah perubahan tersebut. Perubahan yang penulis cuba maksudkan adalah perubahan ke arah perkara yang positif.

Dalam Surah Ar-Ra'd ayat 11, Allah berfirman:

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan apa yang ada pada diri mereka sendiri"

Jelas dinyatakan dalam ayat tersebut, bahawasanya, diri kita adalah faktor paling utama kepada perubahan. Ia dianalogikan sebagai satu pembolehubah (variable) di dalam satu formula yang mana ia menjadi penentu kepada hasil di akhir sesuatu uji kaji.

Teringat akan diskusi santai bersama seorang sahabat, yang mana beliau kini ketara sekali perubahan dalam dirinya. Bila mana kami berkongsi, oh barulah penulis tahu rupanya ada satu insiden yang menyebabkan perubahan ketara pada diri beliau. Berlakunya sesuatu insiden itu menjadi salah satu faktor pendesak yang membawa kepada perubahan seseorang

Sesetengah dari kita,sedar akan keperluan mengubah diri menjadi yang lebih baik dari keadaan sedia ada. Akan tetapi, kesedaran sahaja tidak cukup jika tiada usaha ke arah perubahan tersebut. Dalam kes pertama tadi, insiden yang berlaku menjadi faktor pendesak, maka ia akan mempercepatkan proses perubahan diri. Tetapi, dalam kes yang kedua yang mana hanya kesedaran tanpa usaha, ia hampir memustahilkan perubahan.

Jadi bagaimana jika kita masih dihantui dengan monolog-monolog sebegini "belum masanya lagi", "aku masih ada peluang nanti"? Hentikan ia, jika bukan sekarang nak berubah, bila lagi? Kalau bukan diri sendiri dahulu yang berubah, siapa pula?

Ya, diakui, prosesnya bukan mudah. Perlukan iltizam ataupun komitmen yang bersungguh. Permulaan perlulah dengan diri sendiri kemudian disusuli dengan orang sekeliling. Seperti satu kata-kata dari Jacob M.Braude yang berbunyi:

" Renungkanlah betapa sulitnya mengubah diri Anda dan Anda akan mengerti betapa kecilnya peluang yang Anda miliki untuk mencuba mengubah orang lain. "

Walaupun kita meyakini bahawa perubahan merupakan perkara terpenting dalam diri seseorang ke arah mencapai kejayaan, namun kita sering gagal menerima perubahan. Hal ini adalah kerana kerakusan emosi akan menutupi segala perspektif yang rasional dan kepercayaan kita sering dibayangi keraguan. Jika anda sendiri percaya anda mampu berubah, nescaya ia akan benar-benar berlaku. Seperti kata-kata yang diguna pakai dalam banyak buku motivasi, antaranya Berfikir Gaya Trump, "kita adalah apa yang kita fikirkan". Jadi, ubah sekarang (macam slogan Pakatan Rakyat dalam PRN Sarawak 2011 pula...=))

Wallahua'lam..

No comments: