Sunday, November 22, 2009

ISLAM ITU MUDAH


Islam itu agama yang mudah. Begitulah kata kunci apa yang cuba disampaikan oleh Dr. Asri Zainul Abidin dalam rancangan Bahtera Perubahan yang disiarkan di Astro Oasis 106 semalam. Sempat Pena menonton dan mengambil beberapa point utama dan membuat sedikit kesimpulan daripada penyampaian beliau.

Masyarakat sekarang kebanyakan semakin menjauhi Islam. Kenapa? Bertanya kepada diri sendiri. Mungkin pendekatan yang digunakan oleh sesetengah pihak terlalu syadid atau dalam erti kata lain terlalu berat dan juga merumitkan. Hal ini menyebabkan sesetengah pihak yang cuba mendekati Islam secara total, sedikit demi sedikit jauh dengan Islam.


17. dan Demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka Adakah sesiapa Yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)? (Surah Al- Qamar 54:17)


Kita mengambil contoh dalam usaha pemahaman ilmu tauhid. Cukup mudah Rasulullah menerangkan cara untuk kita mengaplikasikan asas paling utama dalam hidup kita sebagai Muslim. Iaitu dengan memasakkan di dalam hati dengan kalimah “Tiada Tuhan melainkan Allah ,Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah”. Bukan sekadar dengan kalimah yang kita lafazkan tetapi perlu disertai dengan pengakuan dari hati yang bersih juga perlu disertai oleh pengamalan dari setiap seluruh anggota badan.

Kadang-kadang pemahaman tentang ilmu tauhid begitu rumit kaedah penerangannya, sehingga membuatkan kita sukar dan bertambah keliru. Ia juga boleh bertukar kepada bentuk pemahaman falsafah yang rumit disebabkan penerangan dan perkaitan yang berat untuk diterima akal. Sebagai contoh lain Allah itu Maha Mendengar. Secara logiknya ia cukup mudah untuk difahami tentang sifat Allah itu. Tetapi bagaimana pula dengan pernyataan ini “Allah itu Maha Mendengar, lawan kepada pekak”? Tidakkah ia menerangkan perkara yang sama berulang kali? Manakan tidak, kita sedia maklum, bila mana Allah itu Maha Mendengar, sudah tentu Dia tidak pekak. Pengulangan atau perincian diakui adalah bagus, tetapi kadang-kadang ia boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan sesetengah pihak.

Sampaikan Islam secara mudah. Itulah yang dikehendaki. Konsep “sesuatu yang lebih susah itu adalah yang terbaik” Itu tidak semestinya dan ia kurang sesuai untuk dikaitkan dengan Islam itu sendiri. Kerana Islam itu mudah.

28.Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumNya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah. (Surah An-Nisa' 4:28)

Contoh lain yang boleh dibawa dalam perbincangan ini ialah keringanan atau rukhsah yang diberikan kepada musafir yang perjalanannya melebihi dua marhalah. Mereka boleh melakukan Solat Jamak dan juga Solat Qasar untuk memudahkan mereka yang masih di dalam perjalanan. Lihat, Islam itu terbukti mudah.

Kesimpulannya, dengan perkongsian yang tidak seberapa ini dapatlah kita fahami bahawa Islam itu agama yang mudah Tetapi ia bukan bermaksud kita memudahkan ajaran Islam dengan melakukan tuntutannya secara acuh tidak acuh. Jangan begitu sama sekali. Sebaliknya, kita mesti melakukan semua tuntutan Islam secara sempurna. Gunakanlah method yang bersesuaian dan mudah ketika menyampaikan Islam supaya agama Allah ini dapat dipelajari dan diamalkan oleh setiap segenap lapisan masyarakat tanpa mengira status sosial dan sebagainya.

InsyaAllah, sebarang komen atau penambahan amatlah dialu-alukan dan didahului dengan ucapan terima kasih. Maaf andai ada tersilap fakta,penjelasan yang kurang jelas dan sebagainya.

Friday, November 13, 2009

Pengajaran Sepanjang Hayat



Diambil dari blog Madam Martinelli IIUM
(http://blogs.iium.edu.my/martinelli/2009/08/20/pengajaran-sepanjang-hayat/)


Imam Al-Ghazali ada mengatakan ilmu akan menjauhi orang yang berpangkat. Logiknya, semakin tinggi kedudukan seseorang itu, semakin takut orang lain untuk menegur dan menasihatinya, maka dia akan terlepas dari peluang medapat pengetahuan2 baru.

Seorang mentor saya, ustaz Mokhtar Shafei pernah menasihatkan saya dan suami sewaktu anak2 kami masih kecil dulu, katanya, “Cuba usahakan sebolehnya2 hantar sendiri anak ke sekolah sebab sepanjang perjalanan bersama anak banyak proses pendidikan dapat kita sampaikan.” Kami ikut nasihat beliau dan alhamdulillah memang benar kata2 beliau itu.

Sewaktu saya susah hati melihat kenakalan 3 anak lelaki saya yang sangat lasak, seorang sahabat memujuk saya,”Biarlah nakal macam manapun anak2 kita, pastikan mereka tak tinggal solat” Saya pegang katanya2 dengan mengawal ketat urusan solat anak2. Terbukti katanya2 tepat sekali.

Semasa remaja, guru saya berkata, ” Jangan percaya dengan cinta pertama kerana selalunya ia akan putus di tengah jalan sebab kita belum ada pengalaman menjaga hati kekasih.” Kata2 guru saya itu benar2 berlaku, hati terluka dan apabila saya bangun kembali saya berkata kepada rakan2 sebaya bahawa bercinta itu kerja bodoh kerana bukan saja mendekati dosa tapi menyiksa diri bila ianya gagal.

Semasa saya di universiti seorang sahabat menegur sikap saya yang kerap menolak ‘proposal’ orang. Sahabat saya itu berkata, “Neli, kalau kita menolak lamaran seorang lelaki yang soleh tanpa alasan syar’ie tunggulah malapetaka yang akan menimpa. Kalau menolak lamaran, tolaklah dengan baik dan penuh hikmah tanpa menyakitkan hati orang lain.”

Disebabkan kata2 sahabat itu akhirnya saya menerima lamaran teman sefakulti saya yang begitu sabar menunggu jawapan dan lelaki itu sekarang menjadi suami dan ayah yang baik pada anak2 saya. Kami terus nikah walaupun kami masih belum tamat belajar. Cinta dibina selepas sah menjadi suami isteri dengan mengharungi suka-duka bersama membesar dan mendidik anak2 yang menjadi permata jiwa. Ia menyedarkan saya tentang cinta antara seorang lelaki dan perempuan akan hanya dirasakan nikmatnya yang sebenar apa ia dilakukan dengan penuh tanggungjawab mengikut batas2 yang sudah ditetapkan oleh agama.

Lima tahun lalu seorang pelajar bernama Rizal Rosli pernah datang ke pejabat saya dan berkata, “Kawan saya kata orang yang menjaga solatnya dengan baik, roh solat akan naik ke langit dalam keadaan harum semerbak dan bercahaya. Sampai di langit roh solat akan berdoa, ya Allah jagalah si polan ini sebagaimana dia menjaga aku. Tapi kalau orang yang tidak menjaga solatnya dengan baik, roh solat itu akan naik ke langit dalam keadaan yang busuk dan hitam legam. Sampai di langit roh solat akan berdoa, Ya Allah janganlah pedulikan si polan ini kerana dia tidak menjaga aku dengan baik. Maka sia-sialah hidup orang yang tidak dapat penjagaan Allah disebabkan dia tidak menjaga solatnya dengan sempurna.”

Kata2 Rizal saya pegang sampai sekarang walaupun saya tidak tahu sanadnya kerana meyakini bahawa solat adalah benar2 penting untuk mengawal aktiviti kehidupan seharian kita.

Semasa saya di New Castle Upon Tyne, U.K, seorang kenalan berbangsa Inggeris bernama Margaret menyatakan dia mempunyai 8 orang anak. Saya agak terkejut kerana jarang kita berjumpa orang Inggeris punya ramai anak. Saya lebih terkejut melihat gambar 8 anaknya yang berbagai warna kulit termasuk bermata sepet. Rupanya 7 dari anak2 itu adalah anak2 malang yang dijadikan anak angkat. Usianya yang dalam lingkungan 60 tahun dipenuhi dengan kerja2 kebajikan membantu orang di pusat2 komuniti . Apabila saya bertanya berapa dia dibayar, dia menjawab, “None”.

Margaret menginsafkan saya tentang nilai kemanusiaan.

Seorang kanak2 di Phnom Pehn mengajar saya erti setitik air bersih untuk menghilangkan dahaga. Dia mengutip botol2 mineral bekas kami minum. Sisa2 air itu dikumpulkan dalam satu botol lalu diminum sedikit demi sedikit.

Di tepi sebatang jalan di St Marco, Italy, seorang lelaki tua mengajar saya menghormati orang yang lalu-lalang apabila dia mengambil kertas tisu untuk membersihkan najis yang dilepaskan anjingnya agar orang lain tidak terpijak najis itu.

Seekor anak burung mengajar saya tentang erti husnulzhan di hadapan kaabah selepas saya selesai tawaf wida’. Biasanya burung akan lari apabila kita mendekatinya. Tetapi anak burung yang anih itu berjalan perlahan2 mengelilingi saya seolah2 bertawaf dan naik ke tapak tangan saya apabila saya menghulurkan tangan padanya tanpa rasa cuak.

Pengalaman hidup mengajar saya usah sedih dengan kutukan dan kebencian orang kerana banyak pengajaran yang bakal kita dapati darinya. Jangan gembira dengan pujian dan sanjungan orang kerana itu hanya akan membawa kita menjadi lalai dan kemusnahan akibat riak.

Kalau anda yang membaca blog ini merasakan artikel ini berguna kongsikanlah isinya dengan orang lain agar kita sama2 dapat pahala.