Sunday, November 22, 2009

ISLAM ITU MUDAH


Islam itu agama yang mudah. Begitulah kata kunci apa yang cuba disampaikan oleh Dr. Asri Zainul Abidin dalam rancangan Bahtera Perubahan yang disiarkan di Astro Oasis 106 semalam. Sempat Pena menonton dan mengambil beberapa point utama dan membuat sedikit kesimpulan daripada penyampaian beliau.

Masyarakat sekarang kebanyakan semakin menjauhi Islam. Kenapa? Bertanya kepada diri sendiri. Mungkin pendekatan yang digunakan oleh sesetengah pihak terlalu syadid atau dalam erti kata lain terlalu berat dan juga merumitkan. Hal ini menyebabkan sesetengah pihak yang cuba mendekati Islam secara total, sedikit demi sedikit jauh dengan Islam.


17. dan Demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka Adakah sesiapa Yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)? (Surah Al- Qamar 54:17)


Kita mengambil contoh dalam usaha pemahaman ilmu tauhid. Cukup mudah Rasulullah menerangkan cara untuk kita mengaplikasikan asas paling utama dalam hidup kita sebagai Muslim. Iaitu dengan memasakkan di dalam hati dengan kalimah “Tiada Tuhan melainkan Allah ,Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah”. Bukan sekadar dengan kalimah yang kita lafazkan tetapi perlu disertai dengan pengakuan dari hati yang bersih juga perlu disertai oleh pengamalan dari setiap seluruh anggota badan.

Kadang-kadang pemahaman tentang ilmu tauhid begitu rumit kaedah penerangannya, sehingga membuatkan kita sukar dan bertambah keliru. Ia juga boleh bertukar kepada bentuk pemahaman falsafah yang rumit disebabkan penerangan dan perkaitan yang berat untuk diterima akal. Sebagai contoh lain Allah itu Maha Mendengar. Secara logiknya ia cukup mudah untuk difahami tentang sifat Allah itu. Tetapi bagaimana pula dengan pernyataan ini “Allah itu Maha Mendengar, lawan kepada pekak”? Tidakkah ia menerangkan perkara yang sama berulang kali? Manakan tidak, kita sedia maklum, bila mana Allah itu Maha Mendengar, sudah tentu Dia tidak pekak. Pengulangan atau perincian diakui adalah bagus, tetapi kadang-kadang ia boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan sesetengah pihak.

Sampaikan Islam secara mudah. Itulah yang dikehendaki. Konsep “sesuatu yang lebih susah itu adalah yang terbaik” Itu tidak semestinya dan ia kurang sesuai untuk dikaitkan dengan Islam itu sendiri. Kerana Islam itu mudah.

28.Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumNya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah. (Surah An-Nisa' 4:28)

Contoh lain yang boleh dibawa dalam perbincangan ini ialah keringanan atau rukhsah yang diberikan kepada musafir yang perjalanannya melebihi dua marhalah. Mereka boleh melakukan Solat Jamak dan juga Solat Qasar untuk memudahkan mereka yang masih di dalam perjalanan. Lihat, Islam itu terbukti mudah.

Kesimpulannya, dengan perkongsian yang tidak seberapa ini dapatlah kita fahami bahawa Islam itu agama yang mudah Tetapi ia bukan bermaksud kita memudahkan ajaran Islam dengan melakukan tuntutannya secara acuh tidak acuh. Jangan begitu sama sekali. Sebaliknya, kita mesti melakukan semua tuntutan Islam secara sempurna. Gunakanlah method yang bersesuaian dan mudah ketika menyampaikan Islam supaya agama Allah ini dapat dipelajari dan diamalkan oleh setiap segenap lapisan masyarakat tanpa mengira status sosial dan sebagainya.

InsyaAllah, sebarang komen atau penambahan amatlah dialu-alukan dan didahului dengan ucapan terima kasih. Maaf andai ada tersilap fakta,penjelasan yang kurang jelas dan sebagainya.

No comments: