Sunday, April 10, 2011

Frozen Shoulder


SINDROM bahu lenguh (shoulder impingement syndrome) sebenarnya masalah yang dialami kebanyakan orang. Bagaimanapun, kegagalan menerangkannya kepada doktor secara tepat menyebabkan sindrom itu diklasifikasikan sebagai sakit urat atau sakit tengkuk.

Sindrom berkenaan membabitkan tengkuk dan bahu. Kadangkala kesakitan itu merebak ke dada atau bagi perempuan atas payu dara.

Memahami sindrom bahu lenguh harus bermula dengan mengetahui anatomi bahu. Bahu seperti cawan dan piring. Cawan merujuk pada sendi yang bertindak seakan bola pada bahu (head of humerus) dan piringnya pula adalah tulang belikat (shoulder blade).

Tendon daripada empat otot yang melindungi head of humerus membentuk rotator cuff dan berfungsi untuk menstabilkan bahu. Serat dalam rotator cuff boleh membengkok mengikut posisi bahu.

Sindrom bahu lenguh terjadi kerana tekanan pada tendon di rotator cuff yang berada di antara tulang belikat dan head of humerus. Ia boleh menjadi radang yang kronik dan menyebabkan kelemahan tendon.

Konsultan Ortopedik dan Pembedahan Kecederaan Sukan, Kol (B) Dr Azmi Abdul Latif dari Hospital Pusrawi Sdn Bhd, berkata bahu lenguh adalah satu daripada masalah biasa di kalangan orang dewasa.

“Walaupun begitu ramai orang tidak tahu malah mungkin ada doktor juga tidak tahu. Selalunya pesakit akan memberitahu doktor dia sakit tulang belikat atau sakit urat. Mereka tidak tahu pun masalah itu sebenarnya merujuk pada sindrom bahu lenguh,” katanya.

Dr Azmi berkata, sindrom bahu lenguh menyebabkan bahu tidak stabil. Kestabilan bahu banyak bergantung pada rotator cuff. Selain itu, sindrom bahu lenguh juga boleh menjadi punca tendon rotator cuff terkoyak dan mudah tercedera.

“Apabila otot tidak kuat dan tidak seimbang, bahu akan terjatuh (displaced) sama ada ke depan atau ke bawah menyebabkan ia menekan atas saraf dan terasa lenguh,” katanya.

Bahu yang tidak seimbang akan kelihatan senget. Ketika ini anda sepatutnya sudah tahu, masalah sebenar bukanlah sekadar sakit urat.

“Perlu diketahui, sindrom bahu lenguh lebih berisiko pada perempuan kerana kebanyakan wanita tidak duduk dengan posisi yang betul,” katanya.

Selain wanita, golongan yang berisiko diserang sindrom bahu lenguh adalah mereka yang banyak menggunakan pergerakan tangan, atlit (pemain badminton, tenis) dan mereka yang suka tidur mengiring.

“Mereka yang bekerja secara berterusan dengan komputer juga antara yang berisiko. Aktiviti yang memerlukan penggunaan tangan yang banyak seperti pemain tenis atau badminton.

Simptom

Kebiasaannya, simptom awal tidak disedari kerana ia tidak begitu menyakitkan. Pada peringkat ini kebanyakan pesakit tidak berusaha mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, akan mula terasa sakit pada bahu sama ada ketika menggunakan komputer atau ketika berehat. Kesakitan itu datang dari atas bahu dan menular ke lengan. Anda juga akan menyedari kesakitan akan menyerang apabila cuba mencapai atau mengangkat barang.

Bagi seorang pemain tenis, dia akan mula menyedari kesakitan itu apabila cuba memukul bola.

Sindrom bahu lenguh selalunya menyebabkan bengkak pada bahu. Kadang kala ia sakit dan terasa tegang apabila anda cuba untuk meluruskan bahu. Kesakitan juga akan dirasai apabila menurunkan tangan ke posisi tertentu.

Apabila masalah itu makin bertambah, kesakitan itu akan menyerang juga pada waktu malam. Malah anda akan hilang kekuatan dan tidak boleh bergerak. Anda juga mungkin sukar membawa tangan ke belakang selain sukar mengenakan butang dan zip pakaian.

“Mungkin sesetengah orang akan mendapat khidmat tukang urut. Selalunya urutan berkesan untuk beberapa minggu dan masalah ini akan kembali menyerang,” katanya.

Rawatan

Rawatan awal sindrom bahu lenguh bersifat konservatif. Doktor akan mencadangkan anda berehat. Senaman regangan mungkin diajar bagi memperbaiki jangkauan pergerakan anda.

Jika rawatan konservatif tidak berkesan selepas enam hingga 12 bulan rawatan, pembedahan menjadi pilihan. Pembedahan selalunya sama ada arthroscopy atau pembedahan terbuka atau kombinasi antara kedua-duanya. Kedua-dua jenis pembedahan ini boleh memperbaiki kerosakan dan melegakan tekanan tendon.

FAKTA:
Bahu terdiri daripada empat sendi yang berkerja secara bersama

Sendi glenohumeral yang menghubungkan tulang panjang di bahagian lengan atas humerus dengan tulang belikat.

Sendi acromioclavicular (AC) yang menghubungkan tulang belikat dengan tulang selangka (collarbone). Ia bertindak memberi kestabilan kepada bahu

Sendi sternoclavicular yang menghubungkan tulang selangka dengan tulang dada. Sendi ini sangat penting kerana ia adalah satu-satunya yang menghubungkan tulang bahu dengan tubuh.

Sendi scapulothoracic secara tekniknya ia bukan sendi kerana ia tidak menghubungkan mana-mana tulang.

1 comment:

Siraj Munir said...

Salam.patutlah slalu rasa skt.nk2 pkai beg skolh...