Sunday, May 30, 2010

Konvensyen Hari Belia Negara

INSTITUT Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Pendaftar Pertubuhan Belia menganjurkan Konvensyen Belia Kebangsaan 2010, baru-baru ini.

Konvensyen sempena Hari Belia Negara 2010 itu berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya disertai 160 pemimpin pelajar mewakili 16 institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS). Program itu antara lain memberikan fokus kepada isu berkaitan Akta Pembangunan dan Pertubuhan Belia 2007 untuk dikongsi bersama pemimpin pelajar selain memberi pendedahan awal kepada peserta berkaitan penubuhan persatuan belia serta memaklumkan mengenai pelaksanaan akta berkenaan.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar. Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia, Zakariah Md Sam, Pendaftar Pertubuhan Belia, Sa’adon Suraji dan Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran KBS, Saari Salleh.

Berucap merasmikan program itu, Noh, berkata pemimpin pelajar perlu mendapat pendedahan dan maklumat akta berkenaan kerana mereka bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan.

Katanya, konvensyen itu mampu menjadi wadah kepada penjanaan idea serta semangat kepada pembentukan belia Malaysia yang prihatin, bersemangat patriotik dan berilmu.
“Sebagai bakal pemimpin yang akan mewarisi tampuk kepimpinan negara, gunakanlah segala peluang yang ada untuk terus mengasah bakat dan seterusnya membina pembangunan diri ke arah yang lebih positif ’.

“Kita perlu mendedahkan dan memberi kepercayaan kepada barisan muda berketerampilan untuk memimpin melalui anjakan bahawa kepimpinan pertubuhan belia pada hari ini sewajarnya diberi kepercayaan kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, pelajar tahun tiga, jurusan Forensik, Universiti Sains Malaysia, Nur Shafawati Abd Rahni, berkata konvensyen itu memberikan banyak pendedahan yang boleh dikongsi bersama dengan peserta lain.

Beliau berkata, program sebegitu perlu diteruskan di masa hadapan supaya mahasiswa dapat bersama-sama menyumbang idea kepada pembangunan dan kemajuan belia.

Nur Siti Fatimah Az Zahra Md Som dari Universiti Malaysia Perlis, pula berkata, sebagai pemimpin pelajar yang bakal meneruskan agenda pembangunan negara, mereka perlu mengamalkan sikap bertanggungjawab dan sahsiah diri yang tinggi.

Pelajar tahun dua jurusan Elektronik itu juga mengakui konvensyen dianjurkan itu menjadi wadah bagi pemimpin pelajar untuk saling kenal mengenali di antara satu sama lain di samping menjalin hubungan kerjasama di masa hadapan.

No comments: